Beliau tidak payah berbuat apa-apa, bayar dalam RM100 dan letak nota pada makanan itu percuma untuk diambil. Pemilik gerai itu pun gembira kerana jualannya laris dan disedekahkan pula.
Catatan FB Syed Azmi itu sekejapan saja dikongsi lebih 1,000 orang dan disebarkan juga oleh ramai lagi yang suka cara beliau itu - menyampaikan sedekah cara mudah.
Seorang wanita membuat perkara yang sama, dengan membayar kesemua harga kepak ayam goreng di sebuah gerai yang dilanggani ramai pelajar sekolah. Mereka yang singgah membeli pada petang itu, menerima kejutan apabila kepak ayam goreng diberi percuma oleh penjual gerai kepada mereka.
Anak yatim pula selalu diraikan pada bulan Ramadan dan bagi yang mampu, boleh membawa mereka ke hotel-hotel mewah yang menyediakan hidangan istimewa berbuka puasa.
Bagaimana pula bagi individu yang teringin berbuat demikian tetapi kurang mampu? Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma Datuk Mohd Ilyas Zainal Abidin menawarkan cara mudah untuk berbuat demikian - taja seorang anak yatim dengan kos RM40 - dan pihak hotel akan mengumpulkan setiap sumbangan itu sehinggalah meliputi 20 atau 30 anak yatim.
Pihak hotel akan mempelawa anak yatim dari rumah kebajikan tertentu ke Hotel De Palma untuk berbuka puasa hasil sumbangan individu yang dikumpulkan itu, bersolat dan bertarawih beramai-ramai di situ.
Selain itu tradisi bersedekah bubur lambuk juga dibuat dalam bentuk serupa. Individu yang berhajat hanya perlu membeli atau menempah seperiuk bubur lambuk dan pengagihan akan dibantu oleh kakitangan Hotel De Palma.
Di Hotel de Palma Ampang, menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Fadhlina Isa, dermawan boleh membayar RM290 untuk seperiuk besar bubur lambuk yang boleh disedekahkan kepada 400 individu yang berpuasa.
Sekumpulan muslimat di Taman Seri Gombak, Selangor pula menawarkan kutipan sumbangan minimum RM20 untuk kaum wanita di kawasan perumahan itu membiayai juadah berbuka puasa pengunjung surau mereka setiap hari.
Oleh kerana kutipan dibuat sebelum Ramadan untuk memudahkan semua orang menyumbang, akad dilakukan semasa individu muslimah itu menghulurkan sumbangan mereka, kepada jawatankuasa kutipan.
Seorang pekerja pejabat pula bercerita, beliau bersedekah pada bulan yang mulai ini dengan cara membeli apa sahaja makanan yang beliau mampu pada hari itu dan akan mencari pencuci pejabat, pengawal keselamatan, juruwang tol dan sebagainya sepanjang laluan pulangnya, untuk disedekahkan makanan atau minuman berbuka puasa.
Inilah kelebihan Ramadan, bulan umat Islam berlumba-lumba bersedekah dan membuat kebaikan.
Amalan bertukar-tukar juadah sesama jiran mungkin menipis dengan kesibukan umat yang bekerja. Tetapi ia diganti dengan pelbagai cara - di tempat kerja bagi mereka yang bekerja syif atau lewat malam, amalan ini diteruskan.
Itu juga sedekah dan satu daripada pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dalam bulan Ramadan adalah melalui sedekah.
"Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikit pun mengurangi pahalanya." (HR. At Tirmidzi)
Maka berebut-rebutlah umat Islam yang sedang berpuasa dalam bulan Ramadan ini bersedekah, menjamu rakan-rakan, kaum keluarga, anak yatim dan fakir semasa berbuka puasa.
Cuma lain orang, lain caranya, lain golongan, berbeza cara mereka menggerakkan sedekah ini.
Bila ada yang secara sinis mengatakan anak-anak yatim perlukan makanan juga sepanjang tahun, mereka lupa kelebihan Ramadan ini, sedangkan para dermawan yang sudah biasa bersedekah sememangnya meneruskan amalan ini di rumah-rumah anak yatim itu sepanjang tahun.
Cuma kesucian Ramadan membuatkan jiwa individu yang keras hatinya akan dilembutkan jua dengan rasa insaf ketika berlapar dan dahaga.
"Saya pernah menangis bila mendengar patah lagu Black Dog Bone "Bila tiba Hari Raya, semua insan bergembira*." kata Mahrus Ibrahim, suatu ketika berkongsi perasaan mengenai sambutan Raya anak-anak yatim.
Atas rasa insaf inilah pelbagai program mengutip dan mengagihkan sumbangan Hari Raya sepanjang Ramadan turut dilakukan pelbagai pihak.
Golongan anak yatim, ibu tunggal dan fakir dicari dan dikumpulkan.
Dalam media di sana sini dapat dilihat wajah ceria anak-anak yatim, fakir dan ibu tunggal yang jelas berbesar hati dan gembira ketika diberikan sumbangan persiapan Hari Raya apatah lagi yang berpeluang membeli belah baju dan kasut sendiri.
Pertubuhan atau syarikat besar sudah menyediakan peruntukan khas untuk ini tetapi yang menariknya persatuan kecil dan individu yang mengusahakan pelbagai cara memastikan mereka juga turut menyumbang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Beberapa individu menggunakan laman sosial untuk mengumpulkan baju-baju yang boleh disedekahkan kepada yang memerlukan untuk pakaian Hari Raya.
Dalam satu laman Facebook, pemiliknya menggalakkan pembaca supaya mengosongkan almari dengan mengasingkan pakaian yang masih elok untuk dikumpulkan dan disumbangkan kepada beberapa rumah kebajikan.
Seorang peniaga pakaian bundle menguar-uarkan dalam Facebook bahawa pasukannya sanggup mengutip pakaian dari rumah ke rumah untuk dikumpulkan, dijual dan dikongsikan keuntungannya dengan anak yatim dan asnaf atau disumbangkan terus kepada mereka yang memerlukan menjelang Aidilfitri.
Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama atau Benita turut mengambil pendekatan berbeza mengikut kemampuan mereka, mengadakan kempen mengutip sumbangan minimum RM50 seorang itu untuk membiayai pembelian kasut Raya anak yatim.
"Daripada hasil sumbangan para dermawan ini, yang kebanyakannya kakitangan Bernama, kami akan bawa anak yatim dari rumah anak yatim yang dipilih ke kedai kasut untuk memberi mereka peluang memilih dan membeli kasut Raya kegemaran mereka," kata Setiausaha Benita, Norhayati Jantan.
Tahun ini, tahun kelima Benita menganjurkan program ini, dan sambutan saban tahun amat menggalakkan malah lebihan sumbangan dapat diberikan kepada anak yatim ini untuk membeli keperluan Aidilfitri yang lain.
Tahun lepas, katanya, seorang penjual tudung yang terharu melihat kegembiraan anak yatim itu membeli kasut Raya, telah mendermakan sebahagian besar tudung jualannya pada hari itu kepada anak yatim perempuan yang hadir.
Jadilah tangan yang memberi kerana itu yang lebih baik - begitulah lumrah amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan dalam kalangan umat Islam di negara ini.- BERNAMA